Wednesday, October 24, 2012

Almy Nadia Kurus Selepas Dibedah

Almy Nadia Kurus Selepas Dibedah - PELAKON Almy Nadia yang sebelum ini hangat dengan kontroversi cintanya bersama aktor Fizz Fairuz mengakui dirinya kurang popular berbanding pelakon seangkatannya yang lain.

Almy atau nama penuhnya Almy Nadia Aminuddin Shah yang ditemui pada program Jelajah Anugerah Skrin (ASK) 2012 di pusat beli-belah e@Curve, Mutiara Damansara, baru-baru ini juga sudah hampir setahun lebih tidak muncul di khalayak ramai.

Bukan merajuk ataupun mengelak daripada bertemu pihak media dan peminat, kata Almy, dia sudah lama dia tidak meraih tawaran lakonan mahupun acara bertemu peminat daripada mana-mana pihak.

Selepas kontroversi cintanya dengan Fizz, akui Almy, dia telah banyak berubah dan kini berusaha keras untuk kembali diterima dalam bidang lakonan. Ikuti temu bual Kosmo! bersama pelakon berusia 26 tahun ini.

Kosmo!: Boleh dikatakan sudah lama pihak media tidak bertemu Almy pada acara-acara hiburan, ke mana anda menghilangkan diri?

ALMY NADIA: Sebenarnya sudah setahun lebih saya tidak muncul pada acara bertemu peminat seperti ini, bukan tidak mahu tetapi tiada jemputan. Saya rasa diri tidak popular dan kurang keyakinan diri, mungkin sebab itu saya kurang mendapat tawaran.

Kalau Almy tak popular, kenapa pula drama Cinta Buat Emelda meraih sambutan hangat daripada penonton sebelum ini?

Popular ketika drama itu ditayangkan sahaja, selepas itu semuanya kembali seperti biasa. Saya pun tidak tahu di mana silapnya, cuma saya masih menganggap diri saya sebagai pelakon baharu dan masih banyak perkara yang harus dipelajari.

Apakah tindakan Almy untuk mengekalkan kerjaya lakonan?

Sebelum ini, saya sedikit berisi dengan berat badan mencecah 75 kilogram (kg), namun selepas menjalani pembedahan apendiks sekarang berat saya berkurangan kepada 51kg. Saya berusaha untuk kembali kurus untuk meraih tawaran lakonan.

Almy sedih dengan perjalanan kerjaya lakonan sekarang ini?

Rezeki terletak di tangan Allah, saya sedaya upaya cuba berfikiran positif dan berusaha keras. Saya percaya ada hikmah sebalik apa yang berlaku.

Selepas kontroversi cinta dengan Fizz Fairuz, bagaimana dengan hubungan kalian sekarang ini?

Bagi saya, tidak elok untuk bercakap lagi tentang perkara lalu. Ibu saya merupakan orang pertama yang akan marah jika saya bercakap lagi tentang soal cinta. Pasti orang ramai juga sudah muak dengan kisah itu. Sekarang ini, fokus saya untuk kerjaya sahaja.

Apakah yang dipelajari Almy daripada kontroversi cinta itu?

Banyak yang saya belajar daripada apa yang telah berlaku. Saya banyak berubah dan menjadi lebih kuat. Rasanya Almy hari ini bukan lagi Almy yang dahulu. Saya lebih terbuka tetapi dalam masa yang sama masih menyimpan apa yang perlu disimpan daripada khalayak. Bukan semua benda kita boleh kongsikan dengan orang ramai.

Andai ada lelaki yang ingin memperisterikan Almy, apakah syarat utamanya?

Lelaki itu harus menerima saya seadanya dan juga sayangi anak angkat saya, Nurafrina Darwisyah yang kini berusia tiga tahun. – Kosmo

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Outbrain