Air Mani Cair Menunjukkan Anda Tidak Subur?

Soalan

SAYA berusia 25 tahun dan berkahwin dua tahun tetapi belum menimang cahaya mata. Masalah saya ialah, air mani saya akan cair dan menjadi jernih seperti air biasa dalam masa tidak sampai lima minit.
Adakah ini petanda saya tidak subur dan air mani saya tidak mempunyai sperma?

MAT MUD
Shah Alam, Selangor


Jawapan

Air mani ialah campuran cecair daripada pundi prostat, pundi seminal, pundi cowpers, pundi epididimis, pepundi kecil dalam mukosa salur kencing dan sperma daripada buah zakar.

Kandungan sperma hanya dua hingga tiga peratus daripada kandungan air mani dan yang lain daripada pundi berkenaan.

Apabila air mani terpancut ketika lelaki klimaks, ia dalam keadaan berketul-ketul sebelum ia mencair dalam lima hingga 10 minit.

Ini memang semula jadi dan kadar kecairan air mani akan menurun apabila umur lelaki meningkat. Jadi, tidak hairan air mani lelaki berumur biasanya cair.

Yang anda perlu tahu, air mani pekat bukan petanda ia mengandungi banyak sperma. Air mani sebegitu mungkin tiada enzim untuk mencairkannya. Jika air mani tak cair, sperma akan terperangkap dan sukar bergerak.

Sebenarnya lebih cair air mani itu, lebih mudah ia bergerak. Kepekatan air mani tidak penting, tetapi kandungan sperma di dalamnya itu lebih penting dan ia hanya boleh dilihat menerusi mikroskop dan bukan dengan mata kasar.

Memandangkan anda belum memperoleh cahaya mata selepas berkahwin dua tahun, saya nasihatkan anda dan pasangan berjumpa doktor dan menjalani pemeriksaan kesuburan.

Anda juga boleh melakukan ujian air mani bagi menentukan keadaan sperma, sama ada ia ada atau tidak. Jika ada, doktor akan melihat sama ada ia cukup, aktif dan berbentuk normal.

Pemeriksaan kesuburan isteri untuk menentukan kemampuannya menghasilkan telur serta kedudukan salur reproduktifnya, sama ada normal atau tidak.

Comments